Wakaf bukanlah konsep moden dalam aktiviti ekonomi Islam. Wakaf pertama kali dikenalpasti semasa zaman Rasulullah SAW apabila masjid pertama dibangunkan dalam sejarah pengisytiharan Wakaf. Sehingga hari ini, sistem Wakaf digunakan untuk menyelenggara Masjid Quba’ di Madinah, masjid kedua terbesar di Madinah selepas Masjid Nabawi (Masjid Nabawiyy). Pada masa kini, Wakaf mempamerkan peningkatan yang drastik hasil daripada perubahan keperluan dan kefahaman masyarakat. Oleh itu, Wakaf dipelbagaikan secara menyeluruh daripada aset tetap kepada Wakaf tunai, Wakaf Sukuk, Wakaf korporat, Wakaf buku dan banyak lagi. Ini membuktikan bahawa tuntutan masyarakat telah berubah ekoran gaya hidup moden dan keperluan yang kian dinamik.

 

Islam memandang konsep penciptaan dan pengumpulan kekayaan sebagai suatu yang penting dalam kehidupan manusia. Selain itu, Islam menetapkan kekayaan individu bukan sahaja berdasarkan harta fizikal tetapi juga pada akhlak dan etika mereka yang menghasilkan kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat. Syariah mewajibkan umat Islam untuk memelihara harta. Ini telah disebutkan secara khusus dalam Al-Quran dan Hadis. Al-Quran dan ayat-ayatnya melarang perbuatan boros, berlebihan, dan pengurusan wang yang melulu. Sebaliknya, Al-Quran mengharapkan umat Islam untuk memberi makan kepada keluarga mereka dan memberi sedekah. Oleh itu, sifat kedermawanan seseorang Muslim akan menjadi pemangkin kedamaian dan ketenangan, apatah lagi menjadi saham di Akhirat kelak. Oleh itu, tuntutan sosial dan keperluan untuk memenuhi kehidupan saudara kita yang lain menerusi Wakaf, hadiah, dan sedekah amatlah digalakkan.

 

"Lebih baik meninggalkan ahli warismu kaya daripada meninggalkan mereka miskin meminta-minta kepada orang lain". (Sahih Muslim.)

 

Wakaf Pendidikan MAIK UMK telah dimetrai perjanjian usahasama pada 27 Jun 2022 di Kompleks Balai Islam, Lundang yang juga disaksikan oleh Yang Dipertua MAIK, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan. Status mutawalli dan perlantikan nazir khas kepada UMK adalah dengan kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) bagi kutipan, agihan dan pelaburan Wakaf.

 

Wakaf Pendidikan MAIK UMK adalah projek wakaf tunai untuk tujuan kemaslahatan para pelajar UMK khasnya. Menerusi wakaf tunai yang dikumpulkan, diharap akan dapat memenuhi keperluan proses pembelajaran dan pengajaran pelajar UMK dari sudut penyediaan fasiliti dan kemudahan yang lebih baik pada masa hadapan. Antara faedah wakaf tunai Wakaf Pendidikan MAIK UMK ini adalah manfaat untuk peranti teknologi, buku, penginapan, biasiswa dan banyak lagi manfaat yang boleh dijana.